Song of Tebrau | Senandung Tebrau

By and | 31 October 2020

Selat Tebrau
kuseberangimu
mencari kawan
yang dah lama tak jumpa
kerana kau adalah saksi
sebuah kisah lama
sewaktu kami pernah bercinta
memadu kasih berjanji setia.

Tapi…
kenapa kini tiada mesra
dan hangat terasa
sewaktu kami bersama.

Biarpun
bibirnya mengorak senyum
tapi hatinya curiga.
Tangannya melambai manja
tapi perasaannya penuh syak-wasangka
menafsir setiap kata dengan seribu makna
menafsir setiap langkah dengan seribu waspada.
menjabat salam erat tapi terasa sejuk genggamannya.

Adakah semua ini…
kerana dulu kami pernah
kecewa dan gagal bercinta
sehingga masih
terasa perit dan bernanah lukanya
atau
masih ada perasaan curiga
yang tak rela dan redha
kami bersama
sebagai sahabat setia
bergandingan dalam cita-cita.

Selat Tebrau
fahamilah
walau cinta kami
tak pernah sampai ke puncaknya
namun
kami kan masih tetap bersaudara
dan menjadi kawan setia
menyandarkan kesetiakawanan
dalam menghadapi dunia yang bergelora.

Bukan
musuh yang mencari angkara
ataupun
seteru yang saling membinasa.

Selat Tebrau
bolehkah kami kukuhkan jalinan
kasih sayang dan kepercayaan
dalam menempuh hari-hari mendatang
sebagai sahabat akrab
di dunia yang bergelombang dengan ketidakpastian.


Published in XXL: Anak Muda Julung Berkeris, Juffri Supa’at. http://juffrisupaat.wordpress.com/about/.

This entry was posted in 99: SINGAPORE and tagged , . Bookmark the permalink.

Related work:

  • No Related Posts Found

Comments are closed.